• Motosikal terperosok bawah keretaKeadaan motosikal Amirul Hazim yang terperosok di bawah kereta Perodua Myvi.
 1 / 1 

KUALA PILAH – Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dekat sini nyaris maut apabila motosikalnya terperosok di bawah sebuah kereta jenis Myvi dalam kemalangan di simpang Masjid Jamek Yan Tuan Raden, semalam.

Mangsa, Amirul Hazim Mohamad Yusri, 21,  dalam perjalanan ke kedai makan sebelum motosikalnya bertembung dan terperosok di bawah kereta yang dipandu seorang warga emas, Abu Bakar Long, 77.

Abu Bakar ketika ditemui memberitahu, dia dari arah kampung Hayat, Simpang Pelangai dalam perjalanan ke Pasar Awam Kuala Pilah.

Menurutnya, setibanya di kawasan berkenaan, dia memberhentikan kenderaan dan memastikan tiada kenderaan lalu kanan sebelum keluar simpang.

“Bagaimanapun, apabila keluar dari simpang depan masjid, pakcik tidak perasan ada sebuah motosikal masuk ke simpang laluan pakcik.

“Akibatnya, pakcik terlanggar penunggang motosikal berkenaan dan motosikalnya terperosok di bawah kereta Myvi pakcik,” katanya.

Tambahnya, dia masih trauma dan tidak menyangka akan terlibat dalam kemalangan meskipun tidak melibatkan korban nyawa.

“Sepanjang pakcik membawa kenderaan, ini kali pertama pakcik terlibat dalam kemalangan. Hanya ALLAH SWT yang tahu perasaan pakcik. Berdebar-debar dan bimbing keselamatan pelajar itu.

“Pakcik harap, pelajar itu hanya mengalami kecederaan biasa dan tidak serius. Masa pakcik keluar dari kereta, pakcik lihat dia boleh berdiri,"  katanya.

Kata Abu Bakar, dia rasa lega apabila melihat mangsa hanya luka di dagu dan calar di tangan.

"Pakcik rasa syukur kerana tiada kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan itu. Pakcik risau, kalau-kalau ada budak bersama pelajar itu tentu ada kecederaan serius.” katanya.